DI SEBALIK KISAH GELAS VS DANAU

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Carian Google

Di Sebalik Kisah "Gelas VS Danau"


Pada perkongsian yang lalu, kita telah mengetahui kisah seorang guru sufi dan anak muridnya. Bagaimana guru tersebut membuat perbandingan antara gelas dan danau lalu yang mempunyai perkaitan masaalah dengan kehidupan. Kali ini saya ingin membawa para pembaca budiman dan suri bestari menyelusuri intisari dan iktibar di sebalik kisah teladan “GELAS VS DANAU”. 

PERJUANGAN MENUNTUT KESABARAN…
Hidup adalah perjuangan, anda akan menempuhi berbagai halangan, rintangan dan ujian, untuk menguji sejauhmana tahap keimanan diri. Dalam perjuangan memerlukan kesabaran. “ Barangsiapa yang diuji lalu bersabar, diberi lalu bersyukur,dizalimi lalu memaafkan dan menzalimi lalu beristighfar,maka bagi mereka keselamatan dan mereka tergolong dalam orang-orang yang memperolehi hidayah. (HR al-Baihaqi)
Sebagaimana kisah yang telah kita baca di atas, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya, kesucian hati adalah penentunya. Islam amat mementingkan persoalan hati kerana hatilah penentu buruk baik sesuatu perkara. Kita  dapat memahami  bahawa kesabaran, kejayaan dan kebahagiaan seseorang  individu itu berkait rapat dengan kekuatan jiwa atau kalbu. Jiwa yang diumpamakan seperti gelas atau pun seperti danau. Oleh yang demikian apa ingin disampaikan adalah berkisar “HATI” dan kesan-kesannya dalam kehidupan individu…

Sabar itu datangnya dari hati dan keimanan seseorang yang membuahkan sifat redha, tenang, teguh dan yakin. Sabar itu terlalu sukar dan amat berat. Sabar itu masalah hati, dengan solat kita dapat memperbaharui hati dan dapat terus berhubung dengan Allah meningkatkan kembali kesabaran kita dan meneguhkan keimanan. 
Orang yang yakin dengan takdir akan menerima apa jua yang Allah berikan kepadanya dengan meyakini apa yang terjadi pada dirinya adalah yang terbaik bagi dirinya. Sikap inilah yang akan melahirkan kekuatan jiwa, tidak kecewa, sedih, putus asa dan lain-lain.
Yakin dengan takdir Allah juga akan menjadi sumber kekuatan luarbiasa di mana dia terus berusaha, menggilap potensi yang ada dan bekerja keras. Orang inilah yang memiliki nilai diri yang amat tinggi. Musibah yang datang dihadapi dengan tenang kerana yang terjadi dengan kehendak-Nya jua. Tiada keraguan kerana telah berusaha,Allah jua yang menentukan.
Tiada penyesalan tentang masa lalu, dia meyakini dengan masa kini yang ditempuhi dan berani menghadapi hari esok. La haula wala Quwwata illa biLLah”. Tiada daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Kekuatan itu dari Allah, dan Dia yang memberikan kekuatan pada diri kita.

KEKUATAN HATI (QALBU) …
Sebagaimana pesan Si Guru kepada muridnya dalam kisah di atas bahawa sebesar mana pun masalah yang dihadapi semuanya bergantung pada kekuatan hati. Jadikan jiwa sebesar danau… KEKUATAN HATI, JIWA MEMBUAHKAN KESABARAN.
Kekuatan,kebahagian dan kejayaan manusia bukan diukur melalui fizikal dan kelengkapan material semata, akan tetapi ianya terbina daripada gabungan antara kemampuan fizikal (jasad) dan kemantapan spiritual (roh). Kesepaduan dan keseimbangan antara kehebatan jasmani dan rohani akan meninggikan nilai martabat  dan harga diri seseorang itu. Imam Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin menjelaskan bahawa aspek roh di dalam diri manusia itu merangkumi istilah al-qalb (kalbu), al-nafs (jiwa) dan al-`aql (akal fikiran). 
Al-Ghazali menggunakan keempat-empat istilah iaitu roh, kalbu, jiwa dan akal bersifat rohaniah yang terdapat di dalam diri manusia dan merupakan jati diri , intipati atau hakikat sejati diri manusia. Menurut al-Ghazali lagi, aspek kerohanian yang istimewa inilah yang menyebabkan manusia dilantik sebagai khalifah untuk melaksanakan syariat Allah di atas muka bumi ini.
Unsur rohaniah inilah yang menghidupkan jasad manusia, juga berfungsi memberikan ciri kehebatan serta keunggulan manusia. Dalam jasad manusia ada sebentuk hati yang menentukan peribadi kita. Seperti mafhum hadis Rasulullah SAW : “ Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging, bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya, dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! Iaitulah Qalbu (hati).”( HR Bukhari Muslim). Qalbu itu sendiri bermaksud berubah-ubah. Begitulah sifat qalbu,kadang-kadang rasa benci,putus asa, dendam. Kadang-kadang rasa kasih,sabar, pemaaf. Semua yang berlaku berkaitan dengan iman yang boleh bertambah dan boleh berkurang. Sekiranya hati kita bersih, maka baik lah perilaku, jika kotor hati kita maka buruklah perangai kita.

Ada 3 peringkat hati seseorang manusia :
1. Hati paling rendah –yang mempunyai nafs al-amarah iaitu mempunyai kecenderungan memuaskan syahwat, mudah marah, tamak haloba, sombong, bongkak, suka dipuji, takutkan kesusahan dan mudah kecewa sehingga menyalahkan Allah kerana terbeban dengan masalah yang dihadapi. Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Dan aku tidak melepaskan hawa nafsunya, kerana nafsu itu menyuruh berbuat kejahatan kecuali siapa yang disayangi Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yusuf : ayat 53)
2. Nafs al-Lawwamah – iaitu nafsu dan hati yang menasihati diri akan kefanaan dunia. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Aku bersumpah dengan hari kiamat dan aku bersumpah dengan jiwa al-lawwamah iaitu yang amat menyesali dirinya.” (Surah al-Qiamah : 1-2). Hati ini jika sentiasa digilap dengan tasbih, istighfar dan zikrullah lama-kelamaan akan mencapai tahap “nafs al-mutmainnah”
3. Nafs al-Mutmainah – iaitu hati yang tenang damai. Firman Allah dalam surah al-Fajr : ayat 27-30 mafhumnya : “ Wahai (nafs) jiwa yang tenang(suci), kembalilah kamu kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai (Tuhan). Maka termasuklah kamu dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah kamu ke dalam Syurga.”  Hati yang mempunyai “nafs al-mutmainnah” sentiasa tenang menghadapi ujian kerana merindukan kesenangan di akhirat. Orang yang memiliki hati ini yakin dengan janji Allah, tenang ketika menghadapi masalah. Sebagaimana dalam surah Insyirah ayat 5-6 : “Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan, Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan”.

Di mana setiap kali diuji, mereka teringat janji-janji Allah berdasarkan hadis Qudsi (Riwayat Bukhari) yang bermaksud : “Aku sediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, tidak pernah dirasakan oleh hati”.

MEMBERSIHKAN HATI…
Kekuatan hati atau jiwa datangnya dari iman yang teguh. Manakala iman yang teguh itu datangnya dari hati yang bersih. Dengan hati yang bersih menjadikan seseorang itu bersifat redha, tenang, bersyukur dan yakin dengan ketentuan-Nya. Bagaimana untuk menyucikan kekotoran dan karat yang ada dalam hati kita?

Rasulullah SAW mengingatkan kita dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A berkata : Rasulullah SAW bersabda : “ Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan suatu dosa  terbentuklah bintik hitam di dalam hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam pada hatinya sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah di dalam Kitab-Nya: “ Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang mereka usahakan telah menutup hati mereka”.( Surah al-Mutaffifin :14). (Hadis Riwayat al-Baihaqi).

Imam al-Ghazali pernah berkata, bahawa hati(qalbu) itu ibarat cermin. Ketika seseorang itu melakukan dosa atau maksiat, maka ada satu titik menodai hatinya. Semakin banyak dosa, semakin banyak titik itumenutupi hatinya. Jika sudah tertutup dengan banyak bintik hitam, hati yang ibarat cermin itu tidak mampu lagi digunakan untuk bercermin,oleh yang demikian kepekaan hatinya akan lenyap daripada dirinya. Maka dia tidak lagi mampu mengenali dosa, semakin jauh tersesat, berterusan melakukan dosa-dosa besar dan menjadikan dia jauh dari rahmat Allah…
Adapun hati itu ada 3 jenis keadaan, iaitu :
1. Hati yang bersih; akan merasa resah gelisah dan bersalah bahawa dia sudah melakukan dosa. Mudah sensitif dengan gerak geri laku perbuatannya.
2. Hati yang sakit; tidak akan merasa sensitif terhadap dosa dan kesalahan yang dilakukan. Walaupun masih sedar berbuat salah tetapi menangguhkan taubat dan istighfar.
3. Hati yang mati; hati yang gelap dan hitam diselebungi dosa, terus tersesat dengan melakukan dosa berterusan , halal dan haram tiada bezanya. 

Yang manakah gambaran hati kita yang sebenarnya???
Rasulullah SAW menganjurkan kita memperbaharui iman bertujuan untuk menyucikan hati, mengikat qalbu(hati) manusia kepada Allah kerana setiap dari kita sering melakukan kesalahan samada disedari atau tidak. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Perbaharuilah iman kamu, Baginda ditanya : “Bagaimana kami boleh memperbaharui iman kami,Beliau menjawab : “Perbanyaklah mengucapkan kalimat “Laa Ilaha IllaLLah.” (Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Melalui solat, istighfar,doa dan zikrullah,membaca al-Quran, memelihara perintahNya dengan sebaiknya, maka hati manusia menjadi lunak, lembut dan sentiasa berhubung dengan Allah SWT serta mendapat pertolongan dari-Nya. Ini telah dijelaskan melalui maksud Firman Allah SWT : “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad : 7)
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan)solat.”(Surah al-Baqarah:45)



Semoga kita memperolehi kekuatan jiwa dengan membersihkan hati dan menjaganya selalu. Sedetik kita mahu kembali ke pangkuan Allah, Allah akan sambut kita dengan kasih sayang-Nya… Wallahu A’alam..


Comments