MENGURUS PERBELANJAAN BULANAN

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : sumber google

Biasanya bila hampir tiba di penghujung bulan, kebanyakan kita memikirkan gaji atau perbelanjaan isi rumah. Sebahagian besar wang pendapatan kita bekerja digunakan untuk membayar pinjaman perumahan, peribadi dan kenderaan juga pinjaman pelajaran. Kos sara hidup juga semakin meningkat. Sekiranya perbelanjaan dan sumber kewangan tidak diurus dengan baik maka ia menyebabkan situasi  “poket kosong di pertengahan bulan gaji”.

Sewajarnya mendahulukan perbelanjaan untuk keperluan seisi keluarga dan tangguhkan sementara kehendak. Seeloknya sepuluh peratus (10%) wang pendapatan yang kita perolehi dijadikan simpanan. Sebagai contoh pendapatan bulanan sebanyak RM1,500. Maka RM150 daripada jumlah pendapatan tersebut adalah menjadi simpanan bulanan. Ianya penting sebagai imbalan kepada diri sendiri yang  penat lelah berusaha mencari rezeki.   

Sejak dahulu lagi sebelum berumahtangga saya telah menggunakan sistem ‘sampul’ dalam menguruskan perbelanjaan dan keperluan. Pengalaman hidup susah menjadikan saya lebih berhati-hati dalam perbelanjaan dan segala urusan perbelanjaan akan direkod dalam buku lejar. Keadaan ini memudahkan saya untuk mengenalpasti jumlah perbelanjaan sebenar dan menghadkan mana yang tidak perlu serta menyisihkan wang untuk waktu kecemasan walaupun gaji bulanan yang diterima adalah jumlah yang kecil jika mahu dibandingkan dengan komitmen dan pelbagai keperluan. Merekod perbelanjaan juga boleh membantu dalam merancang bajet keperluan di masa akan datang.

Apa yang saya lakukan setiap bulan, adalah wang pendapatan yang diterima saya agihkan ke dalam sampul yang berasingan mengikut keperluan dan jumlahnya. Perbelanjaan berdasarkan jumlah yang ditetapkan bagi mengelakkan bajet ‘tergelincir’ dari yang sepatutnya. Ambil semula contoh di atas, baki jumlah pendapatan RM1,500 setelah ditolak RM150 menjadi RM1,350. Kemudiannya diasingkan ke dalam sampul-sampul yang telah ditulis. 

Contohnya seperti berikut :
Sampul 1 : BARANG DAPUR (RM250)
Sampul 2 : BIL ELEKTRIK DAN AIR (RM200)
Sampul 3 : PENGASUH ANAK (RM300)
Sampul 4 : BROADBAND (RM100)
Sampul 5 : SEWA RUMAH (RM350)
Sampul 6 : RENEW ROADTAX * RM50 X 12 BULAN (RM 600)
Sampul 7 : PENYERTAAN QURBAN * RM42 X 12 BULAN (RM 500)
Sampul 8 : LAIN-LAIN (RM 58)

Sekiranya ada lebihan perbelanjaan dari setiap sampul, wang tersebut boleh dibawa ke bulan hadapan samada diletakkan dalam sampul berkenaan atau boleh dimasukkan lebihan itu dalam sampul (8) : Lain-lain. Bajet perbelanjaan juga boleh dikumpulkan hasil sumbangan dan perkongsian dari pasangan.

Alhamdulillah setakat ini ‘teknik sampul’ membantu saya dalam mengurus perbelanjaan. Adakalanya ketikanya berlaku kecemasan, saya terpaksa menggunakan wang simpanan untuk tujuan tersebut. Sebolehnya saya akan menggantikan semula wang simpanan yang telah digunakan pada bulan-bulan berikutnya serta menyelaras semula perbelanjaan bulanan. Moga perkongsian ini dapat membantu pengurusan perbelajaan bulanan keluarga.




Comments