UJIAN BAH

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Sumber google
Assalamualaikum…
Bertemu kembali di entri ini setelah dilanda kesibukan sepanjang 2 minggu yang sudah. Alhamdulillah, seronok rasanya bila dapat menulis semula. Beberapa hari ini, Negara kita dikejutkan dengan banjir besar yang melanda Kelantan, kemudian diikuti kedah, Perlis dan Perak juga beberapa tempat yang berhampiran dan bersempadan dengan kawasan tersebut.




Simpati kepada mangsa banjir, kawasan kediaman mereka tenggelam dinaiki air, begitu juga surau, masjid, sekolah. Banjir teruk ini mengakibatkan terputusnya hubungan jalan darat juga komunikasi dan bantuan lewat diterima. Mangsa banjir terpaksa mencari tempat yang selamat dari dinaiki air. Bayangkan bagaimana perasaan ketika ini, sedih, cemas, risau, bimbang, ketakutan, kelaparan. Segala-galanya. Pada siapa hendak mengadu dan memohon pertolongan. Ya… Sudah tentu pada Allah kita serahkan segala pergantungan. Dia lah Pencipta Maha Berkuasa juga Maha Penyayang. Bagi setiap kesusahan, penderitaan, keperitan dan ujian yang datang itu adalah kafarah yakni menghapus dosa. 
Melihat situasi sebegini, apa yang boleh kita lakukan sebagai saudara seislam adalah mendoakan keselamatan mereka yang terlibat dengan mangsa banjir ini. Mungkin ada di antaranya sahabat, saudara atau jiran kita dahulu, boleh jadi orang ini yang pernah membantu kita suatu ketika dulu.
Kita memandang hal ini merupakan satu musibah atau keburukan yang berlaku. Namun kita juga tidak tahu di sebalik peristiwa ini juga ada kebaikan (hikmah) yang Allah berikan. Semua yang berlaku adalah rahsia Allah
Sentiasa bersangka baik kepada Allah. Allah jua lah tempat sandaran kita meminta pertolongan (A.T.M - Allah Tempat Mengadu, Allah Tempat Meminta)  Allah Maha Mendengar. Apa jua doa dipanjatkan tidak kira masa dan ketika. Terus sahaja berdoa. Allah berada dekat dengan kita. Memohon dengan penuh yakin tanpa ada rasa jemu. Doa apa yang kita mahu, nyatakan dengan jelas. Akan terjawab segalanya mengikut kehendak dan ketentuanNya. Doa seseorang kepada saudaranya adalah dimakbulkan Allah.
Di saat ujian yang datang ini, mari sama-sama berdoa agar Allah selamatkan semua yang terlibat dengan banjir. Ya Allah kasihani mereka, bantulah mereka, permudahkan segala urusan dan ringankan bebanan mereka. Moga Allah kurniakan ganjaran dan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik di atas ujian kesabaran dan keimanan yang mereka hadapi ketika ini. Allahumma amen.
Selain berdoa, boleh dilakukan solat hajat beramai-ramai mahupun bersendirian mendoakan keselamatan mrangsa banjir. Bagi yang berkemampuan boleh menyalurkan sumbangan kewangan juga peralatan, pakaian, makanan juga keperluan harian untuk mangsa banjir. Sama- sama menjadi warga yang prihatin membantu meringankan bebanan mereka.
Perhati dan meneliti dengan matahati. Semoga apa yang berlaku ketika ini dapat memberi keinsafan dan peringatan buat diri saya sendiri juga semua. Tatkala diri merasakan di dalam kesusahan, sesungguhnya ada lagi insan yang berat lagi ujiannya di luar sana. Bila mana kita berada di atas, jangan lupa pada mereka yang berada di bawah. Kerana kita juga pernah berada di bawah sebelum berada dipuncak ketika ini. Dalam kesenangan yang kita perolehi, ada bahagiannya bukan milik kita yang perlu dikongsikan bersama insan lain. Kita Berjaya dan senang hari ini, ada doa dari insan lain yang tidak pernah kita tahu. Apa yang kita miliki bukanlah bersifat kekal dan atas usaha kita semata. Bahkan semuanya adalah pinjaman dari Allah dan atas keizinan juga kehendakNya. Ianya bersifat ujian buat manusia. Adakah manusia bersyukur atau sebaliknya. Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi manusia, melainkan manusia sendiri yang telah membuat zalim pada diri sendiri.


Comments

  1. ada hikmah di sebalik ujian Allah ni,,kawan2 iqha pun ramai yg terlibat dengan banjir dekat kelantan and terengganu..insyaallah,,sama2 kita doa supaya banjir ni cepat surut,,insyaAllah..aminn.. ;)

    ReplyDelete
  2. Allah sebaik-baik Perencana. Pemilik seisi alam .
    Moga Allah permudahkan urusan mereka. Sesungguhnya akan datang khabar gembira buat mereka yang hadapi dgn sabar. Jom kita beri moral support pd mereka.. :) kita semua bersaudara !

    ReplyDelete

Post a Comment